H355: Kenyataan Rasmi Syeikhuna Tuan Guru Syeikh Ibrahim Masran
Kenyataan Rasmi Syeikhuna Tuan Guru Syeikh Ibrahim Masran Al-Banjari Hafizahullah
بسم الله الرحمن الرحيم .
1. Secara umum telah kita ketahui bahawa usul pindaan Rang Undang-Undang 355 (RUU355) itu adalah suatu usaha untuk menambahbaik dan meninggikan taraf Mahkamah Syari'ah di dalam negara kita. Ianya merupakan suatu usaha yang mulia disisi agama dan juga amat baik disisi kedaulatan negara kita yang tercinta.
2. Secara umum juga telah kita ketahui bahawa Rang Undang-Undang 355 (RUU355) yang sudah berjalan selama ini hanya melibatkan Umat Islam dan tidak membabitkan orang yang bukan Islam. Demikian jualah bahawa usul pindaan Rang Undang-Undang tersebut hanya akan melibatkan umat Islam sahaja dan tidak membabitkan orang yang bukan Islam.
4. Namun, apa yang berlaku kini, telah muncul campur tangan dan percubaan menghalang usaha murni pindaan Rang Undang-Undang tersebut oleh sekelompok Ahli-ahli Parlimen dari kalangan orang-orang yang bukan Islam. Tidak sampai disitu sahaja, bahkan usaha murni untuk meminda Rang Undang-Undang tersebut juga turut ditentang oleh golongan liberal dari kalangan yang beragama Islam. Maka kami katakan, ini merupakan suatu musibah kepada umat Islam di negara ini. إنا لله وإنا إليه راجعون .
5. Oleh yang demikian itu, maka al-faqir menyeru kepada diri sendiri dan kepada umat Islam di Negara ini, agar beristighfar dan bertaubat kepada Allah Jalla wa 'Alaa. Kerana bahawasanya suatu musibah itu tidak ditimpakan oleh Allah Ta'ala kepada hamba-hambanya melainkan hikmahnya jadi peringatan kepada hamba-hambanya itu disebabkan oleh kelalaian dan maksiat yang kita telah lakukan samada sedar ataupun tidak sedar. فنستغفر الله العظيم , من كل ذنب عظيم . نستغفر الله من الذنوب التي تمسك غيث السماء , ومن الذنوب التي تكشف الغطاء . نستغفر الله فرارا من غضب الله إلى رضاء الله ، وفرارا من سخط الله إلى عفو الله . بجاه حبيب الله الأعظم , صلى الله عليه وسلم .
6. Dan al-faqir juga menyeru umat Islam di negara ini agar turut hadir bersama dalam perhimpunan H355 yang bakal berlangsung pada hari Sabtu 18 Februari 2017 di Padang Merbok, Kuala Lumpur. Kehadiran anda yang merupakan tanda sokongan terhadap usul pindaan RUU355 itu amat penting bagi menzahirkan izzah umat Islam dan wibawa bangsa Melayu di tanah air ini.
7. Bagi mereka yang berkemampuan hadir, hendaklah sentiasa mengikhlaskan niat dan tujuan, serta menjaga akhlak dan tingkah laku sebagai seorang muslim mu'min. Sementara bagi mereka yang tidak dapat hadir, maka hadirkanlah doa kalian agar perjuangan yang mulia ini diberi pertolongan dan kemenangan oleh Allah Jalla wa 'Alaa.
8. Mudah-mudahan segala bentuk sokongan dan usaha kita dalam menjaga maslahah umat Islam dan usaha membendung jenayah yang berlaku di tanah air ini akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah Jalla wa Azza.
9. والله الموفق والهادي إلى سواء السبيل, وهو حسبنا ونعم الوكيل .
والسلام عليكم ورحمة الله
Akhukum fillah,
Al-faqir ilallah al-Baari,
Ibn Masran Al-Banjari.
18 Jumadil Ula 1438H
Post a Comment