Header Ads

Selamatkan Muslim Rohingya!



PAS sampai di Kampung Perling & Kampung Shan Taung di Mrauk-U, semakin menghampiri Maungdaw. 

Misi hari kedua di Arakan adalah di dua perkampungan Rohingya Muslim di Daerah Mrauk-U,  di timur-laut Sittwe. Ia boleh dihubungi melalui jalan darat ataupun separuh jalan dengan bot menyusuri sungai.

Perjalanan ke Mrauk-U dengan van dari Sittwe mengambil masa 4-5 jam, kami bertolak pada jam 7.00 pagi,  dan sampai balik ke penginapan jam 7.00 malam. 

Pemandu dan pengurus perjalanan kami daripada etnik rakhine beragama buddha,  kedua-duanya baik dan ramah berbahasa 'Inggeris Burma'. Tiga kali diulang,  belum tentu difahami. 

Membawa amanah PAS untuk menyampaikan sumbangan di waliyah bergolak seperti Arakan (Rakhine State) tidak semudah sangkaan. Selain perlukan visa dan permit khas dari Bahagian Keselamatan dan Sempadan, penampilan diri yang Islamik dan istilah paling sensitif bagi Myanmar -ROHINGYA- wajib dielakkan. Hampir saja pelekat pada barangan sumbangan tidak boleh digunakan kerana ada istilah itu. 

Hanya organisasi berpengalaman dan punyai hubungan baik dengan agensi dan NGO tempatan seperti MAPIM mampu menguruskan pergerakan di sini. Kami beruntung kerana Ust Ahmad Tarmizi Sulaiman (Naib Presiden MAPIM) ada bersama.
Beliau sangat dikenali di kalangan penggerak bantuan untuk Muslim Rohingya di sini. Ini kali ke-9 beliau ke Sittwe. 

Kira-kira empat ribu keluarga mendiami Kg Perling, dikelilingi perkampungan penganut Buddha di sekeliling mereka.  dan 750 keluarga mendiami Kampung Shan Taung, 100% adalah Rohingya Muslim. 

Orang Perling dan Shan Taung bersawah padi,  tanaman setahun sekali, menternak lembu dan menjadi nelayan. Kami temui 4 orang yang boleh berbahasa melayu dengan baik,  kerana pernah menjadi buruh di Malaysia. 

Walaupun kekal di kampung sendiri,  kehidupan mereka seperti Rohingya Muslim di tempat lain,  terkurung dalam penjara terbuka,  dokumen kerakyatan yang 'dirampas' , terhapus semua hak sebagai warganegara, semakin dihimpit dalam kepayahan, dan hari-hari mendatang  penuh ranjau. 

Kanak-kanak membesar dalam serba kekurangan dan halangan, hanya proses pendidikan paling minimum, atas inisiatif komuniti mereka sahaja yang ada untuk membentuk diri mereka menjadi dewasa. 

Suasana kehidupan mereka seolah-olah di luar bandar Malaya pada tahun 50-an atau 60-an, terhimpit dan terkurung pula. Belum lagi diambilkira hal sanitasi, zat pemakanan,  imunisasi, kesihatan, kadar kelahiran dan kematian,  kesihatan bayi dan ibu mengandung, pergigian,  penyakit kronik dan rawatan. 

Sebahagian yang mendiami kem penempatan lebih rela memilih mati di rumah berbanding menerima rawatan di hospital. 

Pergerakan mereka terhad,  tidak dibenarkan ke bandar, ke sekolah atau bekerja di luar lingkungan yang dikawal tentera dan polis. Hanya beberapa premis diperbuat daripada buluh, menjual barangan runcit dan keperluan asas harian. 

Di sini,  barangan yang bernilai RM100 boleh meningkat menjadi RM200 kerana mereka hanya berharap ada yang sanggup datang menghantar pesanan. Wang mereka hanya berputar sesama mereka sahaja. 

Saya dapat perhatikan dari dalam van yang sedang bergerak, seorang ibu menggendong anak kecil berusia kira-kira 5 bulan,  berjalan kaki merentasi sawah di tengah panas,  beberapa kilometer jaraknya, hanya untuk membeli garam. Ketika sedang makan,  saya dapat melihatnya telah sampai ke 'pekan'.  Sambil mundar mandir ke sana sini memerhatikan barangan di beberapa 'kedai',  dia meminta garam di kedai sebelah tempat kami mengalas perut. Muka mereka berdua basah disimbah peluh-panas. 

Alangkah sukarnya kehidupan yang sedang dijalani. Dengan bantuan penterjemah,  saya bertanya beberapa soalan,  dijawab dengan selamba, 'tanpa rasa' sambil tercungap kepenatan. Anaknya 5 orang,  suaminya buruh kasar menggali parit di sawah.  Dia kemudian tersenyum dalam kehairanan menerima jariah  MK5000 (RM15) daripada kami. Dia langsung beredar dengan bungkusan garam di tangan. 

Di Kg Perling, kami melawat sebuah surau yang juga menjadi sekolah 150 kanak belajar menulis dan mengaji. Solat juamaat juga dilakukan di surau itu. Lantai dan dindingnya daripada anyaman buluh yang kian reput,  atapnya daun nipah yang telah usang.  Ia perlu dibaiki segera. Mereka memandang penuh harapan. 

Di kampung sebelah (saya terlupa mencatat nama kampung itu), MAPIM telah menguruskan pembinaan sebuah sekolah beberapa tahun lalu. Hari ini kami dibawa melawatinya. 

Di Shan Taung,  juga terdapat bangunan yang diuruskan pembinaannya oleh MAPIM, dana disumbangkan oleh muslim China (Laila dan rangkaiannya)  dijadikan sekolah. 

Hari ini kami mengagihkan keperluan makanan berupa beras, gula dan tepung. Sebahagian beras dalam guni 25kg terpaksa  dibuka untuk mencukupkan agihan.  Bagi yang terlalu dhaif,  mereka menerima seguni beras dan barangan dapur. Mata mereka berkaca, wajah mereka terpancar kegembiraan dengan kehadiran dan sumbangan yang disampaikan oleh deligasi PAS pada kali ini. 

Kami menanam azam untuk kembali lagi ke sini membawa lebih banyak sumbangan daripada ahli-ahli PAS dan rakyat Malaysia untuk membina semula surau, bangunan sekolah, membaiki madrasah tahfiz, membaiki masjid,  kediaman yang usang, menyarungkan baju dan seluar kepada kanak-kanak yang terlanjang.  

Besarlah harapan agar PAS dapat terus menghulurkan sumbangan untuk meningkatkan kualiti kehidupan mereka di sini, kalaupun tidak berupaya mencapai selesa seperti kita,  cukuplah sekadar mereka berasa selamat. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Tabung Kemanusiaan Antarabangsa 5640 7061 1352 (Maybank). Inilah nyalaan obor Islam buat mereka yang tertindas dan dizalimi. 

SELAMATKAN MUSLIM ROHINGYA! 

Muhammad Sanusi Md Nor
Sittwe, Arakan.
8 Mac 2017

No comments