Header Ads

#Akta355 tersenarai, Kit Siang desak pemimpin komponen BN lepas jawatan

Tidak cukup merasa berkuasa kerana boleh mengarah arahkan pemimpin pemimpin Pakatan Harapan, Lim Kit Siang mahu mengarah arahkan pemimpin pemimpin parti dalam BN pula supaya tunduk kepada kemahuannya.

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini mendesak empat orang pemimpin kanan parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya menunaikan janji mereka untuk meletakkan jawatan sebagai menteri sekiranya kerajaan membenarkan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (Akta 355) dibahas di Parlimen.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, usul tersebut berada pada kedudukan keenam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat kali ini, maka pemimpin parti komponen BN perlu menunaikan janji mereka.

“Tiga orang menteri iaitu Datuk Seri Liow Tiong Lai (Presiden MCA), Datuk Seri Wee Ka Siong (Timbalan Presiden MCA), (Datuk Seri) Ong Ka Chua (Setiausaha Agung MCA) dan Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong sebelum ini berkata mereka akan letak jawatan sebagai menteri jika usul yang dibawa oleh Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dibahaskan di Parlimen.
“Saya ingin menuntut mereka tunaikan janji mereka dengan serahkan surat peletakkan jawatan mereka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Tegas pemimpin veteran DAP itu lagi, jika keempat-empat pemimpin ini serahkan surat peletakkan jawatan mereka kepada Najib, ia membuktikan mereka bukan menteri yang gilakan kuasa dan jawatan.

“MCA dan Gerakan kena berhenti main dengan kata-kata.

“Mereka perlu menyatakan dengan jelas yang mereka membantah dua perkara iaitu membantah usaha kerajaan membenarkan usul Hadi dibentangkan di Parlimen dan kedua, membantah usaha kerajaan untuk mengambil alih usul Hadi sebaik ia dibahaskan.

“Oleh itu, dengan hanya letak jawatan sebagai menteri sahaja dah cukup untuk tunjukkan mereka tidak terlibat dalam politik semata-mata untuk jawatan, wang dan kuasa,” ujarnya.

Terdapat 39 usul yang tersenarai dalam aturan urusan mesyuarat pada persidangan Dewan Rakyat Penggal Kelima Parlimen Ketiga Belas ini.

Cadangan meminda Akta 355 itu buat kali pertama dibawa ke Dewan Rakyat pada Mei 2016 dan usul itu sekali lagi dibaca Abdul Hadi pada 24 November tahun lepas.


No comments