Saya penat tanggung beban sejarah jadi 'kambing hitam' peristiwa Memali - Musa Hitam
Signifikan peristiwa Memali adalah mudah, selama 30 tahun saya dikatakan menjadi pembunuh, bolehkan anda bayangkan? Pembangkang menyalahkan UMNO dan saya sebagai individu yang bertanggungjawab, dan 'rakan-rakan' saya dalam UMNO, apabila situasi ini berlaku, mereka meninggalkan saya. - Tun Musa Hitam
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam mengakui beliau sudah penat menanggung beban sejarah menjadi 'kambing hitam' dalam peristiwa Memali.
Jelas Tun Musa, situasi tidak menyebelahi beliau hingga dipersalahkan sebagai individu yang bertanggungjawab ke atas peristiwa berdarah berkenaan.
Katanya, dalam perjalanan politik beliau, peristiwa Memali dianggap paling kontroversi. Kerana peristiwa itu, beliau dikaitkan dengan gelaran pembunuh.
"Signifikan peristiwa Memali adalah mudah, selama 30 tahun saya dikatakan menjadi pembunuh, bolehkan anda bayangkan?
"Pembangkang menyalahkan UMNO dan saya sebagai individu yang bertanggungjawab, dan 'rakan-rakan' saya dalam UMNO, apabila situasi ini berlaku, mereka meninggalkan saya.
"Mereka seolah-oleh mengatakan biarlah Musa menjadi 'kambing hitam' daripada kami," kata beliau ketika menjadi tetamu undangan rancangan bual bicara Obviously Harith Iskander (OHI) malam ini.
Hakikatnya, Tun Musa menegaskan beliau langsung tidak diberi ruang untuk memberi penjelasan.
Namun selepas mendiamkan diri selama 30 tahun, beliau menceritakan bagaimana beliau menangani krisis tersebut dalam bukunya 'Frankly Speaking'.
Tun Musa berpendapat banyak sebab menyumbang kepada persepsi negatif terhadapnya berhubung peristiwa Memali.
"Saya bukan pemimpin yang berpengaruh ketika itu, saya banyak memberikan masalah kepada kepimpinan, saya individu yang kontroversi,
"Media pula seolah-olah malu untuk melaporkan kebenaran,
"Ketika peristiwa Memali berlaku, tiada pihak yang menumpukan kepada perkara positif,
"Satu-satunya ruang untuk berterus-terang adalah sidang akhbar pasca insiden, saya malah menawarkan diri untuk ditemuramah secara eksklusif kepada media, namun tiada yang berminat," kata Tun Musa lagi.
Beliau berpendapat, nasib beliau mungkin berbeza, sekiranya teknologi media ketika itu adalah seperti yang wujud ketika ini.
Peristiwa Memali pada 19 November 1985, menyaksikan 14 orang maut dalam pertempuran antara polis dan penduduk kampung.
Insiden berlaku ketika polis cuba menahan Ibrahim Libya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa mengamalkan ajaran sesat.
Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/saya-penat-tanggung-beban-sejarah-jadi-kambing-hitam-peristiwa-memali-musa-hitam-113920
Post a Comment