Ruu 355 - Momentum Perubahan
Kami dari Majlis Perwakilan Mahasiswa Kuin menyeru seluruh mahasiswa dan warga KUIN untuk menyokong cadangan pindaan Akta 355 kerana melihat kepada faedahnya kepada keseluruhan sistem perundangan Islam di Malaysia.
1. Akta 355 adalah suatu akta yang memberi bidang kuasa jenayah kepada mahkamah yang ditubuhkan bawah mana-mana undang-undang negeri bagi maksud membicarakan kesalahan jenayah bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.
2. Buat kali pertama pindaan ini dibawa secara usul persendirian oleh YB Parlimen Marang yang bertujuan untuk meningkatkan taraf Mahkamah Syariah dalam bidang kuasa hukuman dan memberi ruang kepada profesion Kehakiman Syariah pada Mei tahun 2016 baru-baru ini.
3. Usul persendirian ini mencadangkan pindaan keatas undang-undang utama iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984), atau dalam Bahasa Inggeris, The Muslim Courts (Criminal Jurisdiction) Acr 1965, yang selepas ini disebut "Akta 355".
4. Bersesuaian dengan titah Yang di-Pertuan Agong Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Al-Mu'tasim Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badlishah, YDPA Malaysia ke-14 dalam ucapan perasmian parlimen untuk menaik taraf kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia.
5. Berdasarkan masalah gejala sosial semakin meruncing mutakhir ini seperti, zina, khazaf, dan sebagainya, maka perlu di tranformasikan undang-undang lebih tegas, munasabah, adil & mampu mencegah ummat Islam terjerumus ke lembah maksiat yang boleh merosakkan keturunan umat Islam ini berdasarkan Akta yang akan dibahaskan.
6. Semenjak Usul ini dibentangkan, rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, merentasi kaum, agama & ideologi telah memberi komentar dan hujah masing-masing samada menyokong atau menentang cadangan Pindaan Akta 355 tersebut.
7. Firman Allah SWT dengan mafhumnya:
"Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
(Al-Maidah 5:8)
8. Maka, dengan ini kami dari Majlis Perwakilan Mahasiswa Kuin menyeru seluruh mahasiswa dan warga KUIN untuk menyokong cadangan pindaan Akta 355 kerana melihat kepada faedahnya kepada keseluruhan sistem perundangan Islam di Malaysia. Ayuhlah kita semua mengadakan solat hajat dan munajat agar hukum Islam dapat dilaksanakan di Malaysia.
9.Akhir sekali,kepada semua mahasiswa yang hadir ke himpunan RUU355 dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan pihak keselamatan agar perkara yang tidak diingini berlaku dan menjaga adab sebagai mahasiswa Islam.
”Syariat diperkasa, Rakyat Sejahtera”
" Kesatuan Mahasiswa Pencetus Perubahan "
Muhammad Azfar Bin Ibrahim,
Presiden,
Majlis Perwakilan Mahasiswa
Kolej Universiti Insaniah
Sesi 2016 / 2017
#KUINSOKONGRUU355
#MahasiswaTurunH355
#H355
Post a Comment