Header Ads

Isu RUU 355 buka mata, minda rakyat

Perspektif positif, isu RUU 355 ini membuatkan ada di antara kita mula menimba ilmu mengenai aspek perundangan di Malaysia. Mereka ingin tahu bagaimanakah sesuatu rang undang undang itu diluluskan.


Oleh Shahbudin Embun

PERBINCANGAN dan perbahasan mengenai rang undang-undang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 semakin hangat dibincangkan dalam kalangan kita.

Ada yang menentang dan ada yang menyokong, dan setiap hari ada sahaja hujah dan pendapat baharu berkisar kepada isu ini.

Inilah demokrasi, di mana rakyat diberi kebebasan menyatakan pandangan masing-masing. Sama ada kita menyokong atau menentang isu RUU 355 ini, berikanlah pendapat berdasarkan pada pengetahuan dan jangan jadi ‘pak turut’ yang hanya boleh diibaratkan seperti tin kosong. Kita juga tidak boleh menafikan hakikat kebanyakan kita cepat membuat kenyataan mengikut perasaan dan hawa nafsu.

Apa yang lebih membimbangkan, ada pihak menyamakan Pindaan Akta 355 ini seperti undang-undang yang sangat zalim dan bersifat ekstrem. Kenyataan seperti ini mampu mengundang rasa tidak selesa dan jika dibiarkan, pastinya akan menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Buang persepsi, polemik

Dan apabila ini berlaku, maka akan timbul pula isu tuduh menuduh dan menuding jari, yang akhirnya tiada sebarang keputusan dicapai. Tidak cukup dengan itu, ada juga yang menuduh Pindaan Akta 355 ini akan memberi kelebihan kepada pihak lain khasnya dari segi politik.

Tuduhan ini seolah-olah menggambarkan segala-galanya dikaitkan dengan politik. Buang segala persepsi bahawa isu ini berkaitan dengan politik dan jangan jadikannya polemik.

Adakah kehidupan seharian kita dikawal dan dipengaruhi faktor politik semata-mata? Mengapakah kita suka mempolitikkan setiap isu yang hangat dibincangkan? Adakah semua yang dirancang tidak ada elemen keikhlasan langsung di dalamnya? Itu sebabnya ada beberapa perancangan dan program yang diatur kerajaan, akan dicemuh juga dengan alasan program ini dibuat semata-mata untuk mendapatkan sokongan rakyat demi survival politik.

Mengapa kita tidak berfikir dengan lebih terbuka dan melihat dari pelbagai sudut sebelum membuat sebarang kenyataan atau keputusan?.

Jika dilihat dari perspektif positif, isu RUU 355 ini membuatkan ada di antara kita mula menimba ilmu mengenai aspek perundangan di Malaysia. Mereka ingin tahu bagaimanakah sesuatu rang undang undang itu diluluskan. Apakah prosedur yang perlu dilalui dan bagaimana pula peranan Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam membuat keputusan mengenai sesuatu Rang Undang Undang itu. Isu RUU355 ini juga membuka mata dan minda semua untuk mempelajari tunjang pemerintahan negara.

Kini mungkin semakin ramai menaruh minat mengenai isu yang berkaitan dengan Perlembagaan dan perundangan negara. Apabila minda dan mata sudah dibuka, semakin ramai yang tidak melihat isu ini dari dalam tempurung.

Prihatin perundangan Islam

Isu ini juga membuatkan ramai mula mengambil berat akan sistem perundangan Islam di negara kita. Anak muda yang mengikuti isu RUU 355 pastinya ingin mengambil tahu dengan lebih mendalam akan sistem perundangan Islam di negara kita.

Semua isu ini sebenarnya sudah dibincang dan dibahaskan. Dan bagi mereka yang mengikutinya pasti sudah mendapat pengetahuan dalam Perlembagaan dan perundangan.

Itu sebabnya kita perlu melihat isu ini daripada sudut positif. Hentikanlah tuduhan dan cemuhan serta berikanlah pandangan bernas. Namun jika isu ini terus dipandang sebagai sesuatu yang negatif dan dikaitkan dengan permainan politik, maka akan lambat lagilah masyarakat kita untuk berbincang sesuatu isu dengan lebih matang dan bijaksana.---BHONLINE

No comments