H355 Medan Penyatuan Islam
H355 merupakan satu himpunan yang bertujuan mengumpul seluruh rakyat Malaysia yang prihatin untuk sokong pindaan 355. Ia bagi membolehkan bidang kuasa mahkamah syariah dimartabatkan dan kita dapat melaksanakannya sebahagian daripada undang-undang yang telah ditetapkan oleh al- Quran. Itu matlamat kita.
ISU pindaan Akta 355 terus menjadi topik hangat perdebatan dalam kalangan masyarakat. Bermula bacaan pertama yang dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen pada 2015 hingga ke 2017, ia antara topik semasa yang menerima banyak maklum balas.
Pelbagai persoalan diutarakan, lebih-lebih lagi menyentuh keupayaan Pas selaku pembangkang yang memohon dibuat pindaan. Tidak kurang pula kegelisahan dan tentangan hebat yang disuarakan kalangan bukan Islam yang mendakwa ia sebagai permulaan untuk melaksanakan hudud. Meskipun ada yang mengecam, Pas tidak berganjak.
Pendirian kekal, pindaan ini mesti diteruskan dan Mac 2017, detik yang dipilih untuk bacaan sekali lagi di Parlimen. Persoalan yang dikemukan rakyat tidak diabaikan, malah atas dasar untuk menjelaskan lagi pentingnya pindaan dibuat, ditubuhkan Sekretariat Himpunan 355 (H355), diterajui Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan sebagai Pengarah H355 dan dipengerusikan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
H355 yang dijadualkan Sabtu ini membawa mesej penting. Ikuti temu bual wartawan SALWANI MD ZAIN, HASLINA KAMALUDIN dan jurufoto, SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM bersama Nasrudin mengenai kesungguhan Pas menjayakan penganjuran H355 ini.
Bagaimana persiapan H355?
Persiapan setakat ini sudah 90 peratus selesai, hanya beberapa tugasan seperti persiapan pentas, akan diselesaikan pada Jumaat ini. Tugasan lain-lain akan disempurnakan secara berperingkat, dan terima kasih di atas kerjasama yang diberi oleh pihak berkuasa PDRM, dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Kerjasama yang sangat baik.
Kami juga telah menyediakan 500 petugas khas untuk memantau aktiviti yang mencurigakan pada majlis tersebut.
Apa yang diharapkan oleh H355?
H355 merupakan satu himpunan yang bertujuan mengumpul seluruh rakyat Malaysia yang prihatin untuk sokong pindaan 355. Ia bagi membolehkan bidang kuasa mahkamah syariah dimartabatkan dan kita dapat melaksanakannya sebahagian daripada undang-undang yang telah ditetapkan oleh al- Quran. Itu matlamat kita.
Sebab itu tema yang kita angkat ialah syariat diperkasa, rakyat sejahtera. Himpunan ini melibatkan semua pihak termasuk bukan Muslim yang menghormati dan memahami bahawa ini adalah hak umat Islam dan perlu dipulangkan kepada umat Islam.
Sebabnya, dalam Perlembagaan Malaysia, kita lihat Islam sebagai agama persekutuan, kemudian agama-agama lain bebas diamalkan. Kalau agama lain tu bebas diamalkan, kenapa tiba-tiba Islam pula tak bebas diamalkan?
Jadi, kita nak mengamalkan syariat Islam sebagaimana termaktub dalam al-Quran sebab Islam menjadikan al-Quran sebagai sumbernya.
Justeru, itu kita telah menggerakkan satu kebangkitan rakyat agar mereka juga dapat memberi satu signal yang jelas. Begitu juga kepada 222 ahli parlimen yang akan beraksi di Parlimen untuk menyokong pindaan RUU 355.
Jadi kalau kebangkitan rakyat itu besar dan gelombangnya besar, maka sudah tentulah wakil rakyat mesti mendengar suara rakyat.
Selain kita spesifik tuju kepada ahli-ahli dalam himpunan ini, kita jemput semua pihak termasuk menteri Kabinet, ahli parlimen, parti politik, NGO untuk hadir.
Kami juga menjemput semua mufti di setiap negeri, imam masjid negeri, ketua hakim, dan pelbagai golongan profesional lain.
Kami tak sempat untuk hantar surat undangan rasmi kerana masa sudah singkat, tapi pada kesempatan ini saya menjemput semua pihak hadir.
Adakah pertukaran lokasi dari Dataran Merdeka ke Padang Merbok menjejaskan perjalanan H355?
Pada awalnya Pas sememangnya berminat untuk menggunakan Dataran Merdeka, tetapi apabila pihak menteri bertegas tidak benarkan, (jadi) kita akur.
Sememangnya kita telah buat rayuan, namun kata putus yang diberi adalah muktamad, iaitu di Padang Merbok.
Alhamdulillah niat kami dipermudahkan, dan semua pihak memberi kerjasama yang baik dari segi kelulusan permit dan sebagainya. Terima kasih PDRM, dan DBKL.
Insya-ALLAH majlis akan berlangsung secara aman.
Ada juga pihak yang bertanya, muat ke Padang Merbok tampung kapasiti yang besar sedangkan padang itu kecil? Tidak mengapa, Kuala Lumpur kami tadahkan.
Soal lokasi...ia tidak menjejaskan apa-apa. Insya-ALLAH kita harapkan ia menjadi himpunan yang aman dan santai begitu sahaja.
Mesej penting yang ingin disampaikan dalam H355?
Matlamat utama kami adalah untuk membangkitkan kesedaran seluruh rakyat Malaysia ke arah membulat sokongan terhadap usaha memartabatkan mahkamah syariah dan melaksanakan undang-undang berlandaskan syariat Islam sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia.
Melalui H355 ini juga, kami ingin memberi penjelasan terhadap kewajaran Akta 355 dipinda dan kenapa ia mesti disokong dan didukung oleh seluruh rakyat Malaysia.
Kami juga ingin membangkitkan kekuatan umat Islam dalam mendepani cabaran terhadap usaha memartabatkan syariat Islam dan hak mereka. Dan secara tidak langsung memperteguh komitmen, kekuatan mental, fizikal dan spiritual.
Kami juga mahu menyerlahkan kekuatan umat Islam sekali gus menyatukan mereka untuk berjuang menegakkan syariah di Malaysia. Sudah tentu kami juga ingin mendidik Rakyat Malaysia ke arah memahami dan menghormati hak mengamalkan agama sebagaimana yang dijamin oleh perlembagaan serta menyatukan rakyat, mengekalkan keharmonian dan memupuk perpaduan.
Maknanya, H355 diadakan sebab masih ramai yang tidak faham dan menentang pindaan Akta 355?
Uniknya RUU 355 adalah kerana ia mendapat perhatian seluruh warganegara. Tidak pernah berlaku pada akta lain dibahas sebegini sedangkan Akta 355 adalah sebahagian daripada akta yang dibentangkan di Parlimen. Malah, sebelum ini ia beberapa kali pernah dipinda, juga di Parlimen.
Satu perkara lagi, banyak juga beberapa forum dianjurkan universiti dan pihak profesional membahaskan isu ini. Jadi saya lihat, mereka anggap akta ini perlu diberi peluang kepada rakyat dan orang ramai membincangkannya.
Oleh sebab itu, betul tindakan yang sedang kita buat sekarang. Presiden Pas telah bentangkan pada Mei tahun lalu, kita tangguh perbahasan. Tujuan tangguh perbahasan itu kerana kita mahu beri ruang supaya masyarakat bincang, beri pandangan, maklum balas, dan kita akan memberi pencerahan kepada rakyat.
Sehingga pada 24 November 2016, kita bentang dengan sedikit pindaan kepada usul yang asal. Pindaan itu datang daripada maklum balas orang ramai.
Oleh kerana ada pindaan baharu dari usul asal, kita sekali lagi memilih untuk tangguhkan.
Kita masukkan angka hukuman 30 tahun penjara denda RM1,000 dan 100 kali sebatan. Ini telah menimbulkan perbahasan, jadi kita buka lagi, tapi yang hairannya dalam masa yang sama, mereka menuntut pelaung rakyat bincang.
Kita tangguh, tapi dalam masa yang sama juga, mereka bantah kenapa kita tangguh, serba tidak kena, walhal kita tangguh itu kerana kita mahu beri masa, kita tak perlu gopoh.
Sekian lama sejak pindaan pertama 1965, 1984, dan kita tunggu pula sehingga 2016, jadi mengapa untuk beberapa bulan tempoh untuk diberi penjelasan kefahaman lebih jelas, dibantah dan marah. Pas raikan semua pandangan dan kedua-dua situasi itu.
Tapi ada juga yang menyoal, kenapa tidak sebelum ini? Sebenarnya sudah lama kami berusaha meminta undang-undang syariat ini diperkasakan.
Di Kelantan, kita mula pada Januari 1993, diluluskan Enakmen Kanun Jenayah Negeri di Dewan Undangan Negeri (Dun). Itu sudah cukup menunjukkan kami sedang berusaha.
Waktu itu, kita mendapat bantahan yang begitu dahsyat. Bukan sahaja daripada musuh Islam, orang Islam sendiri tidak faham. Sehingga kita tidak boleh kuatkuasakannya di enakmen yang telah pun diluluskan.
Namun dalam hal memperkasakan syariat Islam kita sentiasa mencari ruang. Sebab itu sekarang kami mengambil sikap berhati-hati. Jika gopoh ia terbengkalai. Lebih baik hati-hati dan sabar menanti saat dan ketika yang sesuai.
Dalam membuat pindaan RUU, kita tengok ruang mana yang boleh. Sebenarnya idea untuk pindaan akta ini sebenarnya tidak memerlukan dua pertiga majoriti. Mudah untuk dipinda, sementara kerajaan juga bersetuju setelah sekian lama akta ini tidak dipinda.
Soal sokongan itu, tidak mengapa kita akan terus berusaha. Terima kasih kepada kerajaan dan kami harap sokongan ini benar-benar membawa erti, yang jelas bahawa kita betul-betul serius dalam tegakkan syariat Islam di Malaysia.
Difahamkan warna rasmi H355 adalah ungu. Apa signifikannya dengan matlamat H355?
Mengapa ungu, kerana bukan merah, tidak hijau, kuning mahupun biru.
Kalau Merah sudah tentu ada yang cuba mengaitkan dengan geng baju merah yang juga pernah membuat himpunan suatu ketika dahulu. Kuning, orang beranggapan dengan Datuk Ambiga, manakala biru, sinonim dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Warna hijau sudah tentu warna rasmi Pas.
Jadi, kami memilih ungu, warna sejuk, penuh simbolik dengan kasih sayang, tiada kaitan dengan mana-mana pihak.
Sebab kita ingin rakyat Malaysia bersatu padu. Itu agenda yang lebih penting.
Bagaimana dengan sasaran peserta? Ada penyertaan dari kalangan bukan Islam?
Masyarakat bukan Islam, terutama Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) sudah tentu antara yang hadir.
DHPP nampaknya bersemangat untuk menjayakan himpunan ini. Kami jangkakan sekurang-kurangnya antara 500-1,000 peserta bukan Islam.
Dan seperti yang telah diumumkan oleh Pengerusi Sekretariat H355, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Ma, kita cuba jadikan angka 355 itu sebagai signifikan kepada jumlah kehadiran. Insya-ALLAH mungkin cecah 300,000. Saya rasa tak mustahil untuk dicapai.
Umno/BN bagaimana? Hadir juga?
Dari segi kehadiran, selain ahli-ahli Pas dari seluruh negara, siapa lagi yang menunjukkan komitmen untuk sertai H355? Adakah kehadiran orang Umno / BN juga penting?
Ya. Orang-orang Umno / BN perlu hadir untuk memahami kenapa isu ini kita perjuangkan. kehadiran mereka juga penting untuk menyatakan sokongan.
Walaupun saya tidak dapat sahkan berapa jumlah mereka, namun berdasarkan apa yang telah dimaklumkan, mereka akan meluangkan masa ke H355.
Penyertaan lain, seperti Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Se Malaysia (Perkida), Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), persatuan silat juga telah menyatakan komitmen untuk hadir.
Menurut persatuan silat, walaupun isu ini tiada kena mengena dengan persatuan silat, tapi kerana ia saling berkait dengan agama, maka ia harus disokong. Lagipun persatuan silat sendiri akui isu ini lebih rapat dengan bangsa Melayu, dan agam Islam.
NGO lain yang juga telah Menyokong penuh termasuklah Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia, Badan Amal Tarbiyah Sejagat (Batas) dan AlifBa Ta SriKandi Masyhur (SriKandi).
Ada yang melihat H355 satu kebangkitan masyarakat Islam di Malaysia?
Adapun di Malaysia penghinaan terhadap Islam itu sering juga berlaku. H355 ini sebagai titik kebangkitan rakyat. Kali terakhir kebangkitan umat Islam di Malaysia yang pernah saya baca adalah ketika peristiwa Natrah.
Pada waktu itu seorang Muslimah yang ingin dimurtadkan melalui proses mahkamah di Singapura yang menyaksikan kebangkitan umat Islam dari Perlis hingga Selat Tebrau.
Jadi, saya kira jika tidak sebesar itu pun kebangkitan ini, sekurangnya ia boleh menunjukkan bahawa isu ini telah berjaya menyatukan umat Islam dan menyedarkan umat Islam. Bahkan kita menujukan kemuliaan untuk tidak mencetuskan huru-hara, menakutkan mana-mana pihak tetapi sekadar untuk memberi satu isyarat bahawa jangan lah Islam itu diperkotak-katikkan dan diperlekehkan.
Inilah saatnya mereka perlu lihat, inilah cara umat Islam memberi solidariti terhadap isu ini apabila ia dipersoal dan dipertikaikan.
H355 juga akan menjadi titik kebangkitan untuk menyatukan umat Islam setelah sekian lama asyik bertelagah dalam pelbagai isu, sama ada isu mazhab, politik dan isu remeh-temeh. Sementara pihak lain pula bergembira di atas perpecahan umat Islam.
Umat Islam sudahlah kecil bilangannya, berpecah pula, hidup bermusuh sesama Islam kerana berbeza ideologi dan sebagainya. Jadi, saya minta supaya umat Islam faham, sudah sampai masanya kita lupakan soal kecil, bertolak ansur sesama kita terutama dalam isu yang berkiat dengan agama. Ayuh kita bersatu.
Sebab itu daripada segi konsep penganjuran, kita melibatkan semua pihak. Daripada kumpulan pendakwah, rakan-rakan NGO, NGO wanita kurang upaya, termasuklah juga kalangan bukan Islam.
Dalam teruja H355 Sabtu ini, ada kumpulan NGO bebas akan dianjurkan himpunan kontra. Apa persediaan Pas?
Saya telah difahamkan ada pihak akan menganjurkan himpunan kontra. Malaysia adalah negara demokrasi, jadi terpulang kepada mereka. Mereka juga berhak berhimpun. Namun, sekiranya kamu mahu berhimpun, buatlah secara aman, elak cetuskan perkelahian, pergaduhan.
Kami tiada kuasa untuk halang. Cuma saya persoalkan apa tujuan dan apa matlamat himpunan mereka?
Jika tujuan mereka berhimpun untuk bantah H355, ia cita-cita yang amat malang. H355, kita berjuang untuk kebaikan kepada semua rakyat.
Lebih mendukacitakan, jika yang sertai itu kalangan Muslim. Saya nasihatkan mereka, fikir balik, sekiranya ada perkara yang kurang jelas, boleh semuka dengan kami, penjelasan sedia diberi pada bila-bila masa.
Adakah Pas dihadiri kumpulan tertentu agar H355 tidak diadakan?
Lebih 20 kumpulan kami adakan perjumpaan. Persatuan Hokkien, persatuan agama ketua-ketua agama tidak terkecuali, di samping NGO. Jadi saya tidak pasti kumpulan mana yang akan mengadakan himpunan kontra ini, dan apakah mereka pernah jumpa dan sudah diberi penerangan atau sebaliknya.
Jika ada pihak yang inginkan apa-apa penerangan lanjut, kami tiada masalah untuk beri kerjasama. Malah dialu-alukan.
Dalam pertemuan kami dengan persatuan agama-agama sebelum ini, ada yang memberi maklum balas positif setelah diberi penjelasan. Namun tidak dinafikan, masih ada yang masih tegang dengan pendirian mereka. Tidak mengapa. Tetapi majoritinya positif. Alhamdulillah, buktinya mereka akan turut serta pada H355 nanti.
Walaupun ia dianggap himpunan santai, apa aturcara lain dalam H355?
Program bermula seawal jam 2.30 petang dan berakhir jam 11 malam. Segmen Pentas Anak Muda, menyelitkan nasyid, dan sesi soal jawab bersama Ustaz Azhar Idrus. Ia diteruskan pula dengan solat maghrib, dan Munajat Perdana yang akan dipimpin oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Selepas solat Isyak, barulah acara kemuncak akan berlangsung. Kami juga beri peluang beberapa NGO menyampaikan ucapan, diikuti Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Selepas solat Isyak, barulah acara kemuncak akan berlangsung. Kami juga beri peluang beberapa NGO menyampaikan ucapan, diikuti Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Apakah harapan untuk H355?
Semua peserta yang datang mesti dengan niat yang betul. Kefahaman mesti betul, kita bukan datang untuk mencetuskan huru-hara, provokasi. Sebaliknya, datang untuk solidariti bagi memberi sokongan kepada hasrat meminda Akta 355, dan ia adalah bagi memastikan syariat dimartabatkan di tanah air kita.
Pastikan niat yang betul, kerana ia memulangkan pahala menjadi ibadah kepada semua peserta. Kedua, berkelakuan baik, tidak mengganggu perjalanan majlis.
Bawa alas tikar, untuk sama-sama duduk, ia boleh mewujudkan semangat persaudaraan dalam kalangan umat Islam. Sertakan sekali air mineral untuk kemudahan berwuduk. Lain-lain kemudahan seperti tandas bergerak, kawasan muslimat juga disediakan. Segala kemudahan dilancarkan lagi dengan kerjasama DBKL, bersama agensi lain.
Walaupun kemudahan parkir tidak disediakan, pihak sekretariat cuba berbincang dengan pihak kemudahan awam untuk dilanjutkan masa perkhidmatan. Himpunan ini bersifat kekeluargaan, santai berhujung minggu, tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan.
http://www.sinarharian.com.my/mobile/wawancara/h355-medan-penyatuan-islam-1.628762
Post a Comment