Header Ads

Food Flotilla for Myanmar: Misi tertangguh 10 jam

Tali sepanjang 10 meter tersangkut pada kipas enjin kapal.


SELAT MELAKA: Misi kemanusiaan ‘Food Flotilla for Myanmar’ menghadapi cabaran selepas tertangguh lebih 10 jam di Pelabuhan Klang akibat tali sepanjang 10 meter tersangkut pada kipas enjin kapal Nautical Aliya.

Ketua misi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kapal tersebut terpaksa berlabuh di Pelabuhan Utara bagi membolehkan masalah tersebut diselesaikan.

“Perjalanan tertangguh akibat tali tersangkut pada kipas kapal, tetapi kami tidak mensia-siakan masa yang ada.

“500 tan lagi bahan bantuan dibawa masuk yang merangkumi kit kebersihan, beras dan selimut sepanjang proses mengeluarkan tali yang tersangkut dijalankan.

“Perjalanan diteruskan pada jam 7:05 pagi dan misi ini dijangka akan berada di Laut Andaman pada Isnin pagi,” katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.

Menurut Presiden Kelab Putera 1 Malaysia (KP1M) itu, dua kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengiringi kapal Nautical Aliya sehingga ke Laut Antarabangsa. Pada masa sama, cuaca di sepanjang perjalanan dijangka baik. (Astro Awani)

No comments