Laporan Banjir Di Pantai Timur
Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus berkurang dan keadaan banjir di Kelantan semakin pulih.
Kuala Terengganu: Empat sekolah di Terengganu masih ditutup hari ini.
Ini berikutan beberapa masalah seperti pendawaian elektrik tidak selamat selain menjadi pusat pemindahan mangsa banjir.
Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin, berkata Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Guntung dan SK Kompleks Gong Badak di Kuala Nerus, masih menjadi pusat pemindahan mangsa banjir.
Menurutnya, di Kuala Terengganu pula SK Banggol Peradong tutup ditutup kerana dijadikan pusat pemindahan.
“SK Sungai Las, Setiu, terpaksa ditutup kerana masalah pendawaian elektrik yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan murid.
“Jumlah keseluruhan murid terjejas 1,970 selain 180 guru dan 28 Anggota Khidmat Pelaksana (AKP),” katanya.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Terengganu terus berkurang dengan 1,276 orang berada di tujuh pusat pemindahan malam ini berbanding 1,342 orang, pada sebelah petang, 7 Januari.
Dungun terus mencatatkan penurunan jumlah mangsa apabila hanya tinggal 78 orang daripada 20 keluarga di pusat pemindahan di SK Durian Mentangau.
Mangsa di pusat pemindahan di SK Pasir Putih, Marang juga menurun kepada 25 orang daripada lapan keluarga berbanding 39 orang daripada 13 keluarga.
(myMetro)
KOTA BHARU – Keadaan banjir di Kelantan semakin pulih dengan jumlah mangsa ditempatkan di 14 pusat pemindahan di Pasir Mas dan Tumpat terus mencatatkan penurunan kepada 4,770 orang setakat 9 malam ini berbanding 7,135 orang 5 petang.
Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi Infobanjir, di Tumpat, sebanyak 2,857 orang daripada 955 keluarga masih berada di tujuh pusat pemindahan.
Jajahan Pasir Mas mencatatkan 1,913 mangsa banjir daripada 641 keluarga yang juga ditempatkan di tujuh pusat pemindahan.
Kesemua pusat pemindahan di jajahan Pasir Puteh telah ditutup.
Menurut laman sesawang kerajaan negeri, hanya paras air Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya 9 meter (m) iaitu 9.15m, namun menunjukkan trend penurunan berbanding 9.22m petang.
Bacaan paras air Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah pula turun kepada 12.83m berbanding 12.85m petang tadi tetapi masih di bawah paras bahaya (16m), manakala paras air sungai utama yang lain kembali ke paras normal. – Bernama
Post a Comment