Header Ads

Bank Dunia Jangka Ekonomi Malaysia Tumbuh 4.3 Peratus Pada 2017

Bank Dunia menjangka ekonomi Malaysia tumbuh sebanyak 4.3 peratus pada 2017 dan terus berkembang sebanyak 4.5 peratus tahun depan apabila penyesuaian kepada harga tenaga rendah berjalan lancar dan harga komoditi menjadi stabil.

KUALA LUMPUR: Bank Dunia menjangka ekonomi Malaysia tumbuh sebanyak 4.3 peratus pada 2017 dan terus berkembang sebanyak 4.5 peratus tahun depan apabila penyesuaian kepada harga tenaga rendah berjalan lancar dan harga komoditi menjadi stabil.

Ini menandakan laluan pengembangan sederhana daripada pertumbuhan rendah 4.2 peratus yang dijangkakan pada 2016.

Bank Dunia dalam satu kenyataan berkata pertumbuhan dalam kalangan negara pengeksport komoditi di rantau ini diunjur meningkat dengan pesat.

"Indonesia dijangka meningkat kepada 5.3 peratus pada 2017 daripada 5.1 peratus dalam tahun yang baru berakhir ini hasil daripada peningkatan pelaburan swasta.

"Malaysia dijangka meningkat kepada 4.3 peratus pada 2017 apabila penyesuaian kepada harga tenaga rendah berjalan lancar dan harga komoditi stabil," kata bank itu.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasara (KDNK) negara berkurangan kepada lima peratus pada 2015 daripada enam peratus pada 2014.

Bagaimanapun, prospek pertumbuhan merosot di beberapa negara pengeksport komoditi yang lebih kecil seperti Mongolia dan Papua New Guinea, di mana kejutan terma perdagangan telah diburukkan lagi dengan kelemahan domestik, kata Bank Dunia.

Mengenai prospek pertumbuhan di Asia Timur dan rantau Pasifik, Bank Dunia mengunjurkan ia susut kepada 6.2 peratus tahun ini susulan pertumbuhan perlahan di China yang menyederhana susulan peningkatan negara-negara lain di rantau itu.

"Pengeluaran di China dijangka perlahan kepada 6.5 peratus tahun ini.

"Dasar makroekonomi dijangka menyokong pemacu pertumbuhan domestik utama meskipun kelemahan permintaan luaran dan lebihan kapasiti dalam beberapa sektor. Kecuali China, pertumbuhan di rantau itu dilihat berkembang lebih pesat pada kadar lima peratus pada 2017," kata bank itu.
Sementara itu, bagi ekonomi global, Bank Dunia mengunjur ia meningkat sederhana kepada 2.7 peratus pada 2017 selepas paras rendah pasca krisis tahun lepas.

Halangan kepada aktiviti berkurangan dalam kalangan pasaran sedang pesat membangun dan pengeksport komoditi ekonomi membangun, manakala permintaan domestik kekal kukuh dalam kalangan pengimport komoditi negara sedang pesat membangun dan negara membangun.

-- BERNAMA


No comments