Header Ads

Redha Berkat dan Kehidupan

melengkapi perjalanan manusia dlm menyusuri alam dunia ini. 
Oleh: Langit_Ungu

Manusia tidak dapat lari daripada kehidupan di dunia mahupun akhirat. Setiap manusia mempunyai perancangan untuk dibuat daripada semasa ke semasa. Akan tetapi adakah perancangan itu direncana dengan baik? Atau perancangan hanya sekadar perancangan? Atau pun adakah ia ada kaitan dengan redha dan berkat?

Mari terokai makna berkat terlebih dahulu. Daripada Dewan Bahasa dan Pustaka, berkat membawa maksud "satu kurnia atau rahmat Allah yang mendatangkan kebaikan kepada kehidupan manusia". Manakala firman Allah swt: "Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi (kemakmuran) tetapi mereka mendustakan [ayat2 kami] itu, maka kami siksa mereka (dengan kemiskinan dan kekacauan) disebabkan perbuatannya". (Al-'araf, 96)

Rumusan daripada ayat diatas, kehidupan dan berkat sesuatu yang berkaitan antaranya. Kehidupan tidak akan bermakna jika tidak disulami dengan keberkatan yang Maha Esa. Seperti mereka yang kaya dengan harta tetapi miskin jiwa dek kerana tiada unsur keredhaanNya. Mungkin sedar atau pun tidak, ramai manusia yang merasakan redha dan berkat sesuatu yg remeh dan tidak perlu dititik beratkan. Ideologi ini perlu dihakis sepenuhnya di dalam kotak pemikiran.

Sepertimana kehidupan seorang pelajar yang menginginkan keputusan cemerlang di dalam peperiksaan. Tetapi sering terkandas walaupun merasakan diri telah membuat yg terbaik. Jika kita melihat daripada sudut berbeza , mungkin Allah melewatkan nikmat itu kerana masih kekurangan redha dan berkat itu. Boleh sahaja, pelajar itu pernah mengecilkan hati ibu bapa dan pensyarah tanpa sedar, mengerjakan solat dihujung waktu dan lalai melakukan pekerjaan. Sesudah itu tidak pernah meminta untuk mendapatkan redha dan maaf daripada mereka. Akhirnya mereka gagal dengan perbuatan sendiri. Benar, rezeki tiada lagi untuk perolehi, akan tetapi rezeki itu juga datang daripada doa. Doa daripada mereka yang tiada hijab antaranya.

Dikukuhkan lagi dengan "Redha Allah bergantung kepada redha ibu bapa dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa". (Riwayat al-Hakim). Kenyataan ini membuktikan lagi bahawa redha berkat dan kehidupan sesuatu penting di dalam kehidupan. Bukan hanya daripada perspektif pelajar, mereka yang bergelar anak, pekerja, usahawan dan seangkatannya juga terlibat dalam hal ini. Walaupun sekecil mana perbuatan, doa untuk keberkatan itu perlu untuk melengkapkan proses redha Allah.

Redha berkat dan kehidupan melengkapi perjalanan manusia dlm menyusuri alam dunia ini. Dengannya, manusia perolehi kebahagiaan yang Allah lemparkan untuk menjadi hamba yang sentiasa bersyukur, taat dan patuh kepada-Nya. Walaupun sekecil ilmu, terasa sebesar pengetahuan kerana berkat itu hadir. Walaupun sedikit pendapatan tetapi sentiasa sebesar syukur dengan nikmat-Nya.

Wallahu'alam.

No comments