Header Ads

Najib sedang tenat - Muhyidin

Tidakkah terlintas di benak fikiran kita ... Korup?

KENYATAAN YB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN, PRESIDEN PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA

Perhimpunan Agung UMNO tahun ini menjadi kancah Presiden Umno membela dirinya. Sepanjang ingatan saya, Perhimpunan Agung Umno adalah tempat di mana Presiden UMNO membicarakan hal-hal berkaitan kedudukan orang Melayu, agama Islam, masa depan negara dan kesejahteraan rakyat seluruhnya. 

Tetapi kali ini lain sekali nadanya. Presiden UMNO menuntut seluruh ahli berbai'ah dan memberi wala' kepadanya secara membuta tuli dan tanpa soal. Kononnya itulah tradisi di dalam UMNO dan amalan orang Melayu yang kuat pegangannya kepada Islam.

Bagi saya Najib Razak sedang tenat. Bagi seorang yang boleh berbohong tentang sumber wang berbilion ringgit di dalam akaunnya, maka dia juga telah berbohong atas nama agama Islam. 

Tiada konsep wala' kepada pemimpin di dalam Islam jika pemimpin itu terang-terangan melakukan kemungkaran. Malah, Islam menganjurkan umatnya supaya sedaya upaya mencegah kemungkaran sebagai tanda keimanan kepada Allah s.w.t.

Najib di dalam ucapannya merujuk kepada kedudukan Rasulullah S.A.W dan Khalifah Islam yang mulia di sisi agama dan mesti ditataati. Tidakkah beliau sedar dua orang Khalifah yang merupakan sahabat rapat Baginda Rasulullah S.A.W, iaitu Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar, menyeru kepada para sahabat yang lain supaya menegur mereka jika mereka melakukan kesalahan dan tidaklah wajib kedua-dua mereka ditaati sekiranya mereka melakukan kesalahan di sisi agama.

Ketika Sayyidina Abu Bakar dipilih menjadi Khalifah, beliau berkata "Sesungguhnya aku dilantik menjadi ketua kamu sekalian namun aku bukanlah yang paling baik dalam kalangan kamu semua. Taatlah aku selama mana aku taatkan Allah".

Manakala ketika Khalifah Umar ibn Al Khattab dilantik sebagai Khalifah, beliau menegaskan sekiranya beliau melakukan kesilapan dalam menjalankan amanah kepimpinannya, maka tegurlah beliau. Lantas bangkit seorang sahabat mengeluarkan sebilah pedang dan berkata, "jika kamu melakukan sesuatu yang salah pada sisi ajaran Allah, maka pedang inilah yang akan aku gunakan untuk menegurmu."

Berbeza sekali dengan ucapan dan tindakan Najib! Dia sama sekali tidak boleh menerima teguran, malah menghukum orang-orang yang menegurnya! 

Sekarang, beliau menagih simpati dan ketaatan yang membuta tuli kononnya itulah ajaran Islam. Adakah Islam mengajar kita untuk mentaati seorang pemimpin melakukan kemungkaran dengan terang-terangan merompak wang rakyat tanpa rasa bersalah walau sedikit pun? Sebenarnya, Najib telah berbohong atas nama Islam!

Masakan perwakilan UMNO dan orang Melayu seluruhnya lupa bahawa Najib sedang terpalit dengan skandal kewangan terbesar yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Presiden UMNO dan Perdana Menteri sebelum ini. Mana pernah seorang Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia sebelum ini diketahui menyimpan sejumlah RM2.6 bilion dalam akaun peribadi yang dipercayai dicuri daripada kantung syarikat milik negara;  dirinya disebut puluhan kali dalam Laporan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat berhubung siasatan ke atas kehilangan wang USD 3.5 billion dollar daripada syarikat milik negara; anak tirinya disiasat atas dakwaan menerima wang ratusan juta dollar hasil rompakan khazanah negara. 

Tidakkah terlintas di benak fikiran kita Presiden Umno dan Perdana Menteri ini gayanya seperti seorang diktator sebuah negara dunia ketiga yang teramat korup?

Sungguh malang Malaysia yang harum namanya di bawah kepimpinan Presiden Umno dan Perdana Menteri terdahulu, kini menjadi bahan jenaka dan ketawa masyarakat dunia kerana seluruh institusi kerajaan dan parti pemerintah gagal membendung salah laku, penyelewengan dan pengkhianatan yang sedang dilakukan oleh Presiden Umno dan Perdana Menteri yang bernama Najib Razak. Manakala, pemimpin dan rakyat yang cuba memperbetulkan keadaan ditohmah sebagai pengkhianat, ditekan dengan bermacam ugutan, ditahan secara salah di bawah undang-undang zalim dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan yang tidak berasas. Sedangkan penjenayah dan pengkgianat yang sebenar dibiarkan bebas dan terus bermaharajalela merompak harta rakyat dan mencuri khazanah negara!

Lebih malang lagi, Presiden Umno ini menggunakan alasan agama dan bangsa untuk menutup segala kemungkaran dan kesalahannya. Orang Melayu ditakut-takutkan kononnya jika Umno kecundang di dalam pilihanraya, maka hancurlah bangsa Melayu. Malaysia akan diperintah oleh sebuah parti Cina iaitu DAP. Kononnya DAP lah yang akan memerintah Malaysia.

Secara logiknya, DAP yang menguasai 38 daripada 222 kerusi Parlimen tidak akan memerintah Malaysia secara sendirian jika semua orang Melayu menolak UMNO dan mengundi parti-parti pembangkang Melayu yang lain seperti PPBM, PAS, PKR dan Amanah. Jika Umno kecundang dalam pilihanraya, sudah tentulah calon-calon Melayu daripada parti-parti ini akan menang dan menjadi Ahli Dewan Rakyat. DAP tidak akan dapat mengalahkan UMNO. Yang akan mengalahkan UMNO ialah parti-parti yang dipimpin oleh orang Melayu iaitu PPBM, PAS, PKR dan Amanah. 

Jika UMNO kalah dalam pilihanraya, maka tentulah kerajaan yang akan dibentuk nanti adalah kerajaan yang dipimpin oleh orang Melayu juga. Malah dalam pertemuan saya dengan pimpinan DAP, mereka bersetuju bahawa Perdana Menteri Malaysia mestilah seorang Melayu dan bukan daripada parti DAP.

Jadi, orang Melayu tidak perlu takut tentang kedudukan mereka jika Umno kalah. Malah kedudukan orang Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya akan lebih terbela kerana dengan kekalahan Umno maka Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan segala perbuatannya merompak wang rakyat dapat dihentikan!

Ternyata Najib sedang gelisah. Tun Dr Mahathir yang kental perjuangan Melayunya sejak zaman penjajahan Inggeris, sehingga digelar sebagai seorang "ultra Melayu", dan kemudiannya menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri selama 22 tahun, kini berada dalam barisan kepimpinan pembangkang. Saya sendiri yang berjuang lebih 40 tahun di dalam Umno dan pernah dilabel sebagai "Malay First" kini berada dalam barisan pembangkang. Kami berdua bersama-sama rakan-rakan yang lain sedang memperkukuhkan kepimpinan Melayu dalam barisan pembangkang untuk mengambilalih pentadbiran negara daripada Umno dan Barisan Nasional yang telah rosak.

Saya dan Tun Dr Mahathir tidak lagi bersama Umno hari ini bukan kerana mengkhianati perjuangan Melayu, tetapi kerana sudah tidak boleh berkompromi lagi dengan tindak tanduk Najib dan konco-konconya yang khianat terhadap perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air. Mustahil saya dan Tun Dr Mahathir akan mengkhianati bangsa Melayu dan agama Islam!

Saya percaya kepimpinan Melayu dalam barisan parti pembangkang semakin kuat dan mantap hari ini. Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR, adalah Ketua Pembangkang. Dato' Seri Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR, adalah Menteri Besar Selangor. Dato' Seri Mukhriz Mahathir kini Timbalan Presiden PPBM. Manakala Datuk Seri Shafie Apdal mengetuai Parti Warisan yang sedang menggocang kedudukan BN di Sabah. Ini tidak termasuk rakan-rakan pimpinan yang lain daripada parti-parti pembangkang.

Tindakan Najib menggunakan sentimen anti-DAP untuk menakut-nakutkan orang Melayu menunjukkan dia semakin gelisah dengan pemantapan kepimpinan Melayu dalam barisan parti-parti pembangkang. Orang Melayu kini mempunyai alternatif yang lebih baik dan lebih meyakinkan daripada Umno untuk memimpin mereka.

Bangsa Melayu mesti berani bangkit menentang kebatilan dan kejahatan. Bangsa Melayu adalah sebuah bangsa yang mulia dan beradab. Budaya, tradisi dan agama orang Melayu iaitu Islam sentiasa mengangkat darjat kemuliaan orang Melayu. Sudah tentulah sebuah bangsa yang mulia ini tidak rela dipimpin oleh seorang manusia yang telah rosak akhlaknya akibat kemungkaran demi kemungkaran yang dilakukan olehnya. 

Ingatlah pesanan Rasululullah S.A.W supaya kita semua bangkit menentang kemungkaran. Renungilah kata-kata para Khalifah Islam yang menyeru umat Islam supaya memperbetulkan kesalahan pemimpin dan tidak secara berterusan mentaati pemimpin yang melanggar perintah Allah. 

InsyaAllah, bangsa Melayu yang benar-benar memahami dan mengamalkan ajaran Islam akan melakukan perubahan besar di Malaysia!

Saya menyeru orang Melayu dan seluruh rakyat Malaysia supaya bersatu mengembalikan maruah negara dan membina Malaysia yang lebih sejahtera untuk anak cucu kita.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Presiden
Parti Pribumi Bersatu Malaysia

No comments