Tarikan 'I Eat Nasi Lemak'
40 gerai Nasi Lemak di bawah satu bumbung
KUALA LUMPUR - Nasi lemak, gabungan citarasa rakyat Malaysia pelbagai kaum, menjadi hidangan kebangsaan yang digemari semua lapisan masyarakat.
Malah, makanan itu turut mendapat tempat di hati pelancong asing yang berkunjung ke negara ini.
Namun, nasi lemak di setiap kawasan mempunyai keunikannya tersendiri sama ada dari segi rasa dan cara penyediaannya.
Bagi memperkenalkan keunikan itu, FriedChilies mengambil inisiatif memperkenalkan program 'I Eat Nasi Lemak' yang mengumpulkan 40 vendor nasi lemak terbaik dari seluruh negara.
Acara yang dianjurkan buat kali ketiga dan bermula pada 9 pagi hingga 5 petang ini, dijangka menarik kehadiran kira-kira 15,000 penggemar hidangan 1Malaysia itu ke Pusat Konvensyen TM di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif FriedChilies, Mohd Adly Rizal berkata lebih 100 perniagaan nasi lemak dari seluruh negara dinilai sebelum dipilih bagi menyertai acara itu tahun ini.
"Kami mengambil masa tiga bulan mencari dan mencuba nasi lemak untuk dapatkan 40 yang terbaik," katanya kepada Bernama.
Post a Comment