Pilihan Raya Presiden AS: Kebangkitan Islam Sebagai Kuasa Baru Dunia
Pemilihan Presiden Amerika Syarikat kali ini bukannya untuk mengekalkan kekuasaan politik dan ekonomi mereka ke atas dunia ini, tetapi akan menjadi titik mula kejatuhan mereka sebagai kuasa besar dunia. Lihatlah! Sama ada Trump yang bakal menjadi orang paling tua diangkat sebagai Presiden Amerika Syarikat atau Hilary sebagai perempuan pertama diangkat Presiden Amerika Syarikat. Kedua-duanya adalah sebab kejatuhan Amerika Syarikat!
Oleh: Mohd Fadli Ghani,
Akademi Al-Ghazali
ESOK akan berlangsung Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) untuk memilih Presiden AS yang ke-45. Pertembungan adalah antara Donald Trump dari Republican dengan Hilary Clinton dari Democrat. Siapa pun yang terpilih, pasti dunia akan menjangkakan AS tetap dengan dasar yang sama sebagai ‘polis dunia.’
Sejak kebangkitan AS kerana kejayaan mereka melumpuhkan Jepun melalui serangan bom atom di Nagasaki dan Hiroshima pada 1945, dunia telah terpecah kepada dua blok politik dan ekonomi – Blok Barat (dikepali AS) dan Blok Timur (dikepali Soviet Union – KRSS). Sehingga kejatuhan KRSS pada 1991, dunia diwarnai perang dingin kedua-dua blok ini.
Namun, sejak kejatuhan KRSS, politik unipolar AS telah tercabar oleh kebangkitan semula Islam. Teori The Clash of Civilization yang dikemukakan oleh Samuel Huntington dengan jelas memperlihat peranan Islam sebagai ‘musuh baru’ AS. Kerana itu, sejak 1990-an, Barat mempromosikan pemikiran ‘Pluralism,’ ‘Islam liberal’ dan ‘Post Islamism’ bagi menangani kebangkitan gerakan Islam secara ‘lembut.
Di sebalik gugatan ekonomi China ke atas AS yang semakin ‘menjadi-jadi’ sekarang ini, AS sebenarnya lebih bimbang terhadap gugatan politik gerakan Islam yang menjalar dari Timur hingga ke Barat. Nah! Lihat sahaja bagaimana gerakan Islam mula mendapat kuasa sejak kejayaan kudeta Omar Bashir di bawah pengaruh Front Islamis Nasional (NIF) pimpinan Hassan Turabi di Sudan pada 1989, PAS pula memerintah Kelantan pada 1990, FIS menang di Algeria (1991), hingga Refah menguasai Turki (1994). Kemuncaknya, kejayaan Morsi di Mesir pada dekad ini.
AS telah sedar bahawa demokrasi yang mereka jajakan di seluruh dunia untuk meluaskan penjajahan bentuk baru (neo-imperialism) telah ‘membaham’ mereka sendiri. Gerakan Islam mendapat tempat dalam persaingan di pentas demokrasi. Tuduhan bahawa Islam hanya tahu bangkit melalui hujung pedang telah terhenti!
Hari ini, AS sama ada melalui pluralism projectnya atau pembentukan muslim democrat melihat golongan Islamis yang mahu mendirikan Negara Islam yang melaksanakan syariat sebagai ancaman yang baru. Mereka menyusun kumpulan Islam dalam dua bentuk:
I. Yang menolak demokrasi secara total seperti Hizbul Tahrir atau kumpulan yang memilih jalan keganasan seperti ISIS
II. Yang menganut demokrasi tegar sehingga menolak syariat. Kelompok Islam Liberal, Democrat Islamis, Post Islamism dan yang sebangsa dengannya menjadi Maqasid Syariah sebagai senjata untuk menolak Islam.
Campur tangan AS dalam pergolakan politik di negara umat Islam tidak menjadi rahsia lagi. Bukan hanya Iraq dan Afghanistan yang menjadi ‘budak’ AS, tetapi AS telahpun terlibat dalam konflik di Syria, mencatur politik Mesir, Yaman dan Turki. Yang terbaru, siri-siri demonstrasi di Jakarta, Mesir dan Maghribi juga tidak terlepas dari permainan politik AS. Melaga-lagakan Sunni dan Syiah di Syria serta Perang Arab Saudi-Yaman adalah lanjutan daripada polemik salaf-khalaf yang mereka binakan.
Apapun pendekatan yang dilakukan oleh AS, pemilihan Presiden AS kali ini bukannya untuk mengekalkan kekuasaan politik dan ekonomi mereka ke atas dunia ini, tetapi akan menjadi titik mula kejatuhan mereka sebagai kuasa besar dunia. Lihatlah! Sama ada Trump yang bakal menjadi orang paling tua diangkat sebagai Presiden AS atau Hilary sebagai perempuan pertama diangkat Presiden AS. Kedua-duanya adalah sebab kejatuhan AS!
Dalam teori pusingan Ibnu Khaldun, beliau merumuskan bahawa sesuatu kuasa atau kerajaan hanya dapat bertahan di kemuncaknya selama 70 tahun sahaja. Setelah itu akan berlaku kejatuhan dan keruntuhan. Sosialis yang bangkit melalui Revolusi Bolshevik membentuk Soviet Union pada 1917, akhirnya tumbang setelah kalah Perang Afghanistan pada 1988. Sekular yang menjatuh kekhalifahan Islam di Turki pada 1924 juga akhirnya tumbang di tangan Parti Refah pada 1994. 70 tahun adalah usia keruntuhan bagi kuasa-kuasa politik dunia.
AS bangkit menguasai dunia dari tangan British di akhir Perang Dunia Kedua pada 1945. Pada 2015 yang lalu, sudah genap usia 70 tahun kekuasaan AS dalam suasana mereka tercabar oleh kebangkitan kuasa politik Islam dan kuasa ekonomi China. Jika perempuan yang terpilih sebagai Presiden AS yang baru, Sabda Nabi SAW yang bermaksud “Tidak akan berjaya kaum yang menyerahkan urusan pemerintahan kepada wanita” akan menjadi kenyataan.
Bukannya kekuasaan AS sahaja yang genap 70 tahun dan menunggu saat kejatuhannya. Di Malaysia, Umno yang ditubuhkan pada 1946, telah genap usia 70 tahunnya pada tahun ini. Pemerintahan Umno (Perikatan-BN) yang bermula 1955 akan mencukupkan usia 70 tahunnya kurang satu dekad dari sekarang. Ertinya masa depan perjuangan kebangsaan sempit Umno juga akan berakhir selepas siri-siri perpecahan, krisis kepemimpinan dan juga penyelewengan besar-besaran mereka sekarang ini.
Jika perubahan politik dunia akan berlaku dengan genapnya usia pengaruh AS sebagai kuasa besar dunia, maka siapakah yang akan menggantikan AS sebagai pemimpin dunia? Dari seluruh tindakan yang AS lakukan pasca kejatuhan KRSS, membuktikan AS sendiri optimis bahawa penggantinya adalah Islam!
Sumber Gambar: http://focuss.my/wp-content/uploads/2015/10/maxresdefault-1-505x360.jpg
Sumber Gambar: http://focuss.my/wp-content/uploads/2015/10/maxresdefault-1-505x360.jpg
Post a Comment