Implikasi hutang China RM50 bilion
Tiba-tiba sahaja ia muncul dan dalam sekelip mata menjadi projek yang akan mengikat kejap pergantungan negara kita kepada China dari segi kewangan, kepakaran dan guna tenaga
Oleh: Abd Kadir Jasin
KITA baru saja berbincang mengenai bahaya terlalu bergantung kepada negara China dalam pembangunan negara kita.
Kebimbangan kita itu terbukti berasas apabila kerajaan mengambil keputusan berhutang RM50 bilion daripada China untuk membina Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).
Tidak ramai daripada kita tahu mengenai projek raksasa itu kerana tidak banyak atau belum banyak yang diperkatakan mengenainya.
Tiba-tiba sahaja ia muncul dan dalam sekelip mata menjadi projek yang akan mengikat kejap pergantungan negara kita kepada China dari segi kewangan, kepakaran dan guna tenaga.
Daripada apa yang kita dengar dan baca dari Beijing hasil lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak adalah projek itu dibagi secara francais seratus peratus kepada China.
China membekal modal, kepakaran, peralatan dan tenaga kerja. Ini mungkin projek strategik nasional pertama yang diserahkan bulat-bulat kepada sebuah negara asing untuk dilaksanakan.
Kita kena ingat, di negara China tidak ada pemisahan di antara kerajaan dengan perusahaan. Kerajaan memiliki semua industri dan kegiatan ekonomi strategik.
Kerajaan China seperti kita maklum adalah kerajaan komunis walaupun dari segi ekonomi ia mengamalkan kaedah kapitalis.
Bukan projek ECRL saja dibagi kepada China. Daripada laporan media, kerajaan juga bersetuju, buat kali pertama dalam sejarah, membeli kapal perang persisiran pantai daripada China dan bekerjasama dalam kawalan Laut China Selatan.
Saya tidak tahu sama ada Kabinet, Barisan Nasional dan Umno telah membincangkan sedalam-dalamnya anjakan paradigma kerjasama dua hala yang melibatkan negara komunis China itu.
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/a-kadir-jasin/implikasi-hutang-china-rm50-bilion-1.582181
Post a Comment