Header Ads

Dua skrin mesin ATM dipecah lelaki misteri

Sebaik saja memasuki ruangan itu, lelaki tersebut terus bertindak memecahkan skrin salah sebuah mesin ATM di situ dengan menggunakan tukul besi


KUBANG PASU 1 Nov. - Tanpa diketahui motifnya, seorang lelaki bertindak pelik dengan memecahkan dua skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di dua bank berbeza di Jalan PJ2/2, Pekan Jitra Dua, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Abdul Hadi Hassan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.56 pagi apabila seorang lelaki yang memakai topi berwarna putih, memasuki ruangan ATM Bank Rakyat yang terletak di tengah-tengah deretan bangunan di jalan tersebut.

“Sebaik saja memasuki ruangan itu, lelaki tersebut terus bertindak memecahkan skrin salah sebuah mesin ATM di situ dengan menggunakan tukul besi.

“Dia kemudiannya bergerak ke Bank RHB yang terletak kira-kira 50 meter dari situ sebelum memecahkan skrin sebuah lagi mesin ATM di bank tersebut dengan kaedah yang sama,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambahnya, ketika kejadian, terdapat seorang pengawal keselamatan yang bertugas di dalam bangunan Bank Rakyat itu manakala di Bank RHB, tiada pengawal bertugas.

Mengulas lanjut, katanya, penggera keselamatan di kedua-dua bank itu tidak berbunyi disebabkan kerosakan dilakukan itu tidak langsung menjejaskan bahagian simpanan wang pada mesin tersebut.

“Wajah lelaki itu boleh dilihat menerusi kamera litar tertutup (CCTV) namun identitinya masih dalam siasatan. Setakat ini kami belum tahu jenis kenderaan digunakan suspek kerana rakaman CCTV hanya menunjukkan dia berjalan di kaki lima bangunan,” katanya.

Menurutnya, kes tersebut hanya disedari oleh pihak pengurusan kedua-dua bank ketika pekerjanya hadir untuk memulakan tugasan masing-masing kira-kira pukul 8 pagi.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.” ujarnya. - UTUSAN ONLINE

http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/dua-skrin-mesin-atm-dipecah-lelaki-misteri-1.402354

No comments