Header Ads

PAS: Politik matang dan sejahtera

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah mata rantai Harakah Islah dan Tajdid, kumpulan Islam yang wajib diwujudkan mengikut perintah Al-Quran dan wasiat Rasulullah SAW dengan syarat, rukun dan ciri-ciri yang tetap teguh dan anjal bersama situasi semasa dan setempat.

Keimanannya tetap bersama Islam yang tidak mungkin dipadamkan cahayanya walaupun dihumban sehingga ke dasar bumi. Maka, pendekatan PAS dalam politiknya dari aspek prinsip dan matlamat Islamnya sama dengan semua kumpulan Islam yang ditubuhkan daripada Gerakan Islah dan Tajdid di seluruh dunia Islam, namun terdapat perbezaan masa, tempat, situasi dan realiti, menjadikannya mempunyai perbezaan dengan kumpulan Islam yang ditubuhkan dengan semangat semata-mata, bersama kejahilan tanpa "Tafaqquh Fid Din" sehingga mencalarkan imej Islam yang sangat murni, yang sepatutnya membawa rahmat ke seluruh alam.

Kehebatan Islam, bukan kerana senjata dan peperangan tetapi kerana adil, hikmah dan kematangan yang membawa sejahtera, rahmat, aman dan kematangan.

Berbeza dengan ideologi yang tidak sempurna aspek fitrahnya, tanpa roh dan tidak berwawasan akhirat, tidak seimbang di antara kepentingan individu dan masyarakat.

Tegasnya, parti yang dasarnya, teras dan matlamatnya adalah  Islam, tidak boleh menjadi penumpang dalam perjalanannya tetapi menerima penumpang yang setia dan berakhlak.

Islam mencipta sejarah, ada negeri yang didatangi Islam secara peperangan kerana dipaksa begitu dan rakyatnya juga menjadi mangsa kezaliman kerajaanya sendiri, tetapi  Islam diterima rakyatnya menjadi penyelamat, bukannya musuh atau penjajah, kerana peperangannya mengikut sempadan Fiqh Jihad.

Banyak negeri pula yang menerima Islam kerana pendakwah dan para mujahidin yang mendalami ilmu agama. Hanya dalam tempoh 80 tahun sahaja Islam menguasai sempadan sehingga keperbatasan China meredah Asia Tengah, seterusnya turun Ke Asia Tenggara. Mara ke Utara dan Tengah Afrika dan menyeberang ke Eropah apabila pengaruhnya memerintah Andalusia (Sepanyol dan Portugal).  

Adapun kedatangan Islam dirantau ini melalui dakwah para pedagangnya, maka pendekatan dakwah dan politiknya di rantau ini tidak sama dengan kumpulan Islam di negara lain.

Maka, PAS bukan seperti Ikhwan Muslimin di negara Arab, bukan Jamaat Islami di Pakistan, bukan Jemaah Tabligh India, bukan Parti Saadat dan Adalat Turki, jauh sekali seperti Al-Qaeda atau Daish yang berjenamakan jihad tanpa ilmu dan bertafaqquh dalam perkara Islam, sehingga menjadikan semua ajaran Islam itu disalah faham,  tidak dilihat murni dan  mulia, tidak seperti zaman awalnya, sangat dihormati sehingga masuk ke dalam akal manusia dengan cara yang lebih berkesan dan tajam daripada senjata.

Bukannya mengisytiharkan perang dengan fatwa takfirnya tanpa penjelasan dan hujah batas-batas iman dan kufur yang sentiasa wajib berwaspada kerana konsepnya menyelamat manusia seberapa banyaknya, bukannya berperang membunuh sebanyak mungkin, jauh sekali berperang di tengah-tengah umat Islam yang tenggelam dalam kejahilan dalam tanah air dan umatnya sendiri, mengebom tanah air dan umatnya sendiri sehingga ke dalam masjid.

Padahal, Al-Quran dan Sunnah mengharamkan melampau terhadap musuh:

وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ 
(١٩٠ ، البقرة)

"Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerena sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. (Al-Baqarah: ayat 190)

PAS berada di bumi Malaysia di mana umat Islamnya masih terkesan dengan warisan penjajahan, bersama masyarakat majmuk bersama bukan Islam yang semuanya menjadi mangsa penjajahan.

PAS yang ditubuhkan dengan asas akidah Islam dan konsep syariatnya yang sempurna wajib meneruskan pendekatannya mengikut mukjizat ilmu Al-Quran dan kebijaksanaan Rasulullah SAW dengan istiqamah bersama akidah dan kaedah yang matang, berdakwah dan berijtihad dalam isu semasa yang berbeza dan berubah dengan mengetahui pendekatan yang boleh diubah, serta ketegasan dalam perkara dasar,  matlamat dunia dan wawasan akhirat yang tetap, haram diubah. 

Oleh itu, PAS dengan Islamnya mampu menghadapi adanya perbezaan tempat, keadaan dan masa. Maka, PAS tidak boleh terpengaruh dengan apa-apa sahaja yang tidak selaras dengan situasi dan realiti daripada luarnya dan terus beristiqamah bersama Islamnya. Menjadikan PAS  tidak terpesona dengan Revolusi Mesir 1952 dan terkini 'Arab Spring' yang hampir menenggelamkan Ikhwan, PAS juga tidak terpengaruh dengan Revolusi Iran menghadapi kediktatoran Shah Iran yang mengganas  dan Mazhab Syiah Imamiyyah majoriti rakyatnya, PAS tidak terpengaruh dengan keadaan di Turki kerana tenteranya dijadikan pelindung sekularisme yang hanya menentang Islam sahaja supaya memerangi rakyat Turki yang berhasrat menjadikan agama Islam berdaulat di negaranya.

Namun, hubungan perpaduan ummah tetap diteguhkan dengan pangkalan yang berbeza. PAS berada di Malaysia yang masih wujud demokrasinya walaupun menipu dan salah laku yang mewajibkan kebijaksanaan dan kesabaran.

Perlembagaan Malaysia menjadikan Islam agama negara tanpa tafsiran, namun membolehkan perubahan kepada Islam dengan mendapat kuasa politik. Mengamalkan konsep demokrasi yang tetap wujud, bermakna memberi ruang kepada umat Islam menafsirkannya sendiri, bukannya meneruskan tafsiran warisan penjajah, atau mengikut kehendak bukan Islam.

PAS mampu menghadapi semua cabaran, berpengalaman di zaman penjajah, selepas merdeka sanggup menjadi pembangkang, pernah pula di awal 60-an menerima hakikat kemerdekaan serta penubuhan Malaysia dengan berbeza konsep dengan Parti Perikatan yang memerintah dan mengadakan tahaluf siyasi dengan Parti Negara, Sosialis dan lain lagi. 

Namun PAS tidak boleh diheret bersama Sukarno bersama Komunis di Indonesia, walaupun pemimpin utamanya Dr Burhanuddin menjadi mangsa tahanan ISA sehingga meninggal dunia.

PAS pernah bersendirian dalam pilihan raya negeri 1959 dan 1960. Bertahaluf bersama Parti Negara di Terengganu 1960 dalam kerajaan negeri dan pilihan raya parlimen dan menyertai Kerajaan Campuran bersama Umno selepas peristiwa 13 Mei 1969, setelah bersendirian dalam PRU, mengadakan kerjasama dengan pihak lain sehingga merungkai gabungan Perikatan kepada bersama menubuhkan Barisan Nasional pada tahun 1974 sehingga 1979.

PAS kemudiannya bersendirian, dan seterusnya bertahaluf bersama Parti Melayu Semangat 46 pada tahun 1990 dan Barisan Alternatif (1999) dan Pakatan Rakyat (2004).

Dalam semua langkah, PAS tetap beristiqamah di atas Islamnya yang tetap menjadi sempadan yang haram dilangkah tanpa perhitungan akidah, syariat dan akhlaknya.

Risalahnya ialah menyelamatkan manusia bersama Islam yang memimpin dan memerintah negara, sama ada menganut Islam tanpa paksaan atau wajib menerima Islam menjadi pemimpin dan pemandu yang benar-benar menunaikan amanah dan berwawasan yang luas dan jauh, daripada dunia sehingga akhirat, tegas menyampaikan rislahnya, berpandukan arahan Allah:

وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡۖ فَمَن شَآءَ فَلۡيُؤۡمِن وَمَن شَآءَ فَلۡيَكۡفُرۡۚ 
(٢٩ ، الكهف)

"Dan katakanlah (wahai Muhammad SAW) kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya. (Al-Kahfi: ayat 29)

Maka PAS akan boleh bersama dan bekerjasama dengan semua pihak dengan syarat, menerima konsep Islam memimpin dan memerintah, dan PAS juga tetap berpisah dengan semua pihak yang tidak menghormati sempadan ini, walaupun betapa hebat cabarannya dan jauh perjalanannya.

Mereka yang tidak bertahan dalam menghadapi gelombang politik beristiqamah bersama konsep Islamnya, pasti keluar atau dikeluarkan daripada bahtera PAS.

Sebabnya kerana ahli PAS yang setia mehukan dua kemenangan janji Allah:

يَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ وَيُدۡخِلۡكُمۡ جَنَّٰتٖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ وَمَسَٰكِنَ طَيِّبَةٗ فِي جَنَّٰتِ عَدۡنٖۚ ذَٰلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيم *
وَأُخۡرَىٰ تُحِبُّونَهَاۖ نَصۡرٞ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتۡحٞ قَرِيبٞۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِين
َ (١٢-١٣ ، الصف) 

"(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "'Adn". Itulah kemenangan yang besar(di alam akhirat). Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya di alam dunia ini) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. (As-Saff: ayat 12-13)

Kedua-dua kemenangan yang dijanjikan ini hanya kepada sesiapa yang beristiqamah memuliakan  Islam mengatasi segala yang lain. Dinyatakan dalam bai'ah dan perjuangan secara amali oleh ahli jemaah Islam.

Adapun bertahaluf dengan pihak lain dengan berjanji seperti kenyataan seorang bukan Islam kepada Rasulullah SAW:

وَلَكنِّي أُعَاهِدُكَ أنْ لا أُقَاتِلَكَ ، وَلاَ أَكُونَ مَعَ قَومٍ يُقَاتِلُونَكَ .
رياض الصالحين للنووي. 
(1/ 80)متفق عليه
 
"Aku tidak mahu menganut Islam), tetapi aku berjanji tidak menentang mu dan tidak bersama dengan kaum yang menentang mu)."

Terus beristiqamah menyampaikan risalah Islam dengan bersama mereka yang menerima Islam atau tidak bermusuh terhadap Islam, menarik manusia secara model yang ditegaskan Allah:

وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلٗا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ  وَلَا تَسۡتَوِي ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِي بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُۥ عَدَٰوَةٞ كَأَنَّهُۥ وَلِيٌّ حَمِيمٞ  وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٖ * وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ نَزۡغٞ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِۖ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ 
(٣٣-٣٦ ، فصلت)

"Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)! Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Fussilat: ayat 33-36)

PAS wajib menjadikan Rasulullah SAW contoh terbaik yang menafsirkan wahyu tersebut, apabila bersikap memaaf dan mengampun musuhnya; khususnya apabila berkuasa mencapai kemenangan. Caranya sangat berbeza dengan pihak lain yang menjadikan kemenangannya untuk melepas geram dan membalas dendam, sehingga diisytiharkan hasratnya yang melampau sebelum mencapai kemenangan.

Ingatkan diri dengan pesanan Allah:

وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٖ مِّن رَّبِّكُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَٰوَٰتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ  ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلۡكَٰظِمِينَ ٱلۡغَيۡظَ وَٱلۡعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ  وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَٰحِشَةً أَوۡ ظَلَمُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ ذَكَرُواْ ٱللَّهَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ لِذُنُوبِهِمۡ وَمَن يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمۡ يُصِرُّواْ عَلَىٰ مَا فَعَلُواْ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ 
(١٣٣-١٣٥، آل عمران)

"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)." (Ali-Imran: ayat 133-135)
 
Inilah objektif politik Islam yang matang dan sejahtera.

BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
28 Syawal 1437 / 2 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 2/8/2016

No comments